Dalam era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Inovasi dan teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya tidak boleh dinafikan. Namun, dalam pada itu, ada juga yang menafikan tentang kesan Inovasi dan teknologi. Pelbagai kesimpulan yang dibuat oleh individu berdasarkan pengamatan tentang kesan inovasi dan teknologi sama ada membawa kepada kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.
Tidak dapat dinafikan bahawa inovasi dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam pembangunan masyarakat sejagat. Namun ia juga tidak dapat disangkal mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar mahupun sosial. Semua ini tidak dapat dielakkan kerana kadang- kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Segala penemuan dan ciptaan inovasi dan teknologi yang lahir dari akal manusia kadang tersasar dengan tujuan sebenar kerana tidak mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Tidak hairanlah jika kini banyak pengamalan sains dan teknologi juga mengundang kepada kemudaratan jika batas- batas penerokaan ilmu sains tidak menepati apa yang telah Islam utarakan.
Natijah daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya.